DUHAI ANAKKU




Siapa yang tidak mahu melihat anak yang dikandung, dilahirkan dan dibesarkan itu hidup dengan sempurna dan gembira?

Sempurna.

Itu yang dikejar oleh semua orang. Mahu menjadi sempurna impian semua orang. Berusaha ke arah kesempurnaan adalah sesuatu yang dipuji. Tetapi ke arah mana kita halakan SEMPURNA yang digapai itu?

Jika ia sekadar tontonan mata manusia, usah diimpikan menjadi sempurna. Walaupun kita telah melakukan yang paling baik pun tidak dianggap sempurna oleh manusia. Hidup manusia itu sentiasa mencari kesalahan orang lain.

Berkata seorang Jurulatih Spiritual NLP;

"Ketidaksempurnaan itu adalah sempurnanya manusia"


Kesempurnaan itu hanya milik Allah SubhaAllahu Wa Ta'ala.

Kita sering berlebih-lebihan di dalam menentukan perilaku anak kita agar menjadi insan yang sesempurna yang mungkin di mata kita. Di sini kita lupa bahawa diri kita juga tidak cukup sempurna untuk menentukan satu kesempurnaan. Begitu juga apabila prestasi anak mula merundum bak terjunamnya World Trade Centre di New York. Orang pertama yang disalahkan adalah anak itu. Kemudian pasangan kita. Jarang-jarang kita menyalahkan diri kita. Malah lebih teruk lagi kita merasakan yang kita langsung tidak bersalah di dalam hal ini.

Kecederaan emosi yang dialami oleh anak-anak akibat salah-menyalahi di dalam mengejar kesempurnaan yang tidak dapat dicapai boleh membunuh potensi dirinya. Dia akan terus-menerus merasakan dirinya tidak berupaya untuk menjadi anak yang diingini oleh kedua ibu dan bapanya. Dia juga akan menjadi lebih keliru akan kebolehan dirinya.

Di sekolah juga, dia mungkin tidak diberikan perhatian yang sewajarnya. Umum mengetahui; guru akan lebih menyayangi murid yang pandai. Jarang-jarang kita dengar murid yang corot akademiknya menjadi kesayangan guru.

Apabila tekanan dari rumah serta sekolah diterima secara serentak; pada pandangan tuan-tuan apa yang akan terjadi kepada anak tersebut? Cemerlang atau Corot?

Prestasi anak-anak adalah berteraskan 'TeamWork'. Semua pihak harus bertanggungjawab terhadap prestasi anak-anak. Jika di rumah; anak-anak di asuh untuk survival kehidupannya oleh ibu dan bapanya. Di sekolah pula anak-anak diasuh dari sudut potensi yang terdapat di dalam diri mereka oleh guru-gurunya. Kerjasama yang terjalin adalah kerjasama tradisi. Manakala proses mendidik itu berterusan sehingga ke akhir hayat. Mereka tidak sempurna begitu juga dengan diri kita. Apa yang kita boleh usahakan adalah mencari satu solusi yang terbaik bagi mencapai yang terbaik.

Antara solusi yang terbaik ialah dengan bersahabat dengan mereka. Jadikan mereka sahabat kita. Sahabat baik kita. Usah dimusuhi mereka andai mereka tidak menyiapkan kerja sekolah, tidak membawa buku, tidak mahu ke sekolah, tidak mendapat keputusan yang cemerlang atau sebagainya.

Sahabat yang baik adalah pendengar yang baik. Mendengar setiap apa yang mereka ingin sampaikan ketika mereka berbicara.

Sahabat yang baik adalah pendorong yang baik.  Mendorong mereka melakukan sesuatu kerja dengan baik dan menunjukkan caranya seandainya mereka tidak tahu. 

Sahabat yang baik adalah yang menerima kelebihan dan kekurangan diri dengan seadanya. Puji perbuatan mereka yang baik-baik dan maafkan perilaku keterlanjuran mereka. Beritahu mereka perkara yang betul untuk dilakukan. Tidak ada istilah jemu di dalam menasihati. Manusia juga mudah lupa. Maafkan mereka seandainya mereka terlupa.

Wahai ibu dan bapa; menjadi sahabat yang baik kepada anak kita adalah perkara yang terpuji.
Wahai para guru; menjadi sahabat yang baik kepada anak murid kita adalah perkara yang terpuji.

Saya percaya seandainya kita dapat menjadi sahabat yang baik, dalam diam-diam jauh di sudut hati kita dapat menyayangi diri mereka tanpa syarat begitu juga dengan diri mereka.

-Zuraida Noordin-

Comments

Popular Posts