Thursday, May 15, 2014

Komunikasi Terbaik adalah Memberi




Sudah agak lama saya tidak mengemaskini blog.

Baiklah, saya mencuba untuk menjadualkan artikel 'memberi' sebagai inspirasi yang kita dapat sehari-hari di dalam ruang lingkup pentas kehidupan.


Hari ini, saya menonton video ini. Kisah ini begitu dekat dengan hati.

Kisah seorang budak lelaki yang mencuri ubat buat ibunya yang sedang sakit.

Mencuri itu perbuatan yang salah. Mencari ubat untuk ibunya yang sakit, itu perbuatan yang mulia.

Sudah pasti, beliau mencuri kerana ketiadaan wang akibat kemiskinan.

Sang peniaga dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Sedikit sumbangan dihulurkan bagi menyelesaikan konflik yang berlaku.

Keikhlasan itu adalah satu perasaan yang dapat dirasai oleh sang penerima daripada yang memberi.

Ianya tidak terucap. Cukup dengan sebuah pandangan yang penuh pengertian.



Kita tidak pernah tahu dengan siapa kita bakal menabur budi dan dengan siapa pula kita bakal menerima budi.

Kita tidak pernah akan tahu bilakah kita akan berada di atas, dan bilakah pula kita akan berada di bawah.

Siapakah orang yang akan menghulurkan bantuan di saat tangan kita terkapai-kapai meminta pertolongan?

Siapa pula yang bakal kita bantu hari ini?

Hidup ini tidak pernah keseorangan. Kehidupan itu sendiri saling melengkapi antara satu dengan yang lain.


Berbahagialah kepada yang hidup dengan memberi.

Ianya satu perlaburan yang tidak terlihat hasilnya, namun bakal melengkapi sebuah keperluan di episode kehidupan yang mendatang.



Zuraida Noordin

Friday, April 12, 2013

Bangkit. Ubah. Fokus!



Sampai bila kita harus meratapi kesedihan masa lalu?


Kisah kita telah menjadi anak yatim kematian ibu sedari umur lapan tahun, kisah kita ditinggalkan oleh bapa kandung sedari umur sembilan tahun, kisah kita tidak pernah merasai kasih sayang seorang Yayah sedari bayi dan pelbagai rencam kesedihan kehidupan masa lalu?



Kita perlu melangkah ke hadapan. 




Hidup mesti diteruskan. 


Hidup bukan untuk terus meratap dan meratapi kisah lalu. 


Jadikan kisah-kisah masa lalu itu satu perkara yang hebat yang pernah kita lalui.


Apabila kita sering meratap, kita seakan tidak meyakini takdir dan ketentuan yang telah disusun.

Mengenang nasib yang malang tidak akan membuahkan apa-apa hasil.

Bangkit. Bangun dan pergi dari situ. Keluar dari belenggu kisah sedih yang tak berkesudahan.

Mula fikirkan solusi untuk merungkai ikatan yang membelenggu diri, hentikan jeritan dan esakan yang melemahkan dan mengurangkan kudrat sebenar yang ada pada diri kita.

Simpan sedikit demi sedikit kudrat yang ada agar diri kita kuat dan fokus di dalam usaha memutuskan ikatan belenggu kesedihan menuju kebahagiaan.

Apabila kita nampak apa yang ada dekat dengan kita, di sekeliling diri kita, maka kita makin jelas matlamat untuk keluar dan melupakan apa yang telah lama berlalu pergi dan tak akan kembali.

Hadirkan diri untuk kehidupan sekarang, untuk persediaan kehidupan masa akan datang.

Bangkit. Ubah. Fokus. 

Kejayaan itu makin mendekat!


-Zuraida Noordin-

Wednesday, April 10, 2013

Malam 'Kebangkitan' Matematik



Pada minggu peperiksaan SPM di sekitar tahun 1993, seorang rakan sekelas telah menumpang tidur di rumah saya kerana rumahnya terletak jauh daripada sekolah. 


Pada malam peperiksaan kertas Matematik, saya duduk di sebelahnya yang sedang tekun mengulangkaji (sambil menunjukkan muka simpati, mahu mengulangkaji tetapi tidak faham apa yang telah dipelajari).


Rakan saya memahami keadaan saya yang sudah tahap 'di ambang wati'.
Lalu beliau menunjukkan bab-bab yang mudah untuk dikuasai di samping teknik-teknik yang pantas untuk mengira dan memahami jalan kira. 

Beliau menyatakan, untuk 'score' mungkin mustahil, sekadar memastikan lulus, dengan izin Allah kamu pasti dapat lulus.

Lalu pada malam itu, saya menurut saranannya untuk berlatih bab-bab yang telah diajarkan oleh beliau pada malam itu. Senyuman yang diberikan oleh beliau pada malam itu apabila melihat saya berjaya menyelesaikan soalan demi soalan, benar menyuntik semangat dan memberi motivasi kepada saya.

Keesokannya saya memasuki dewan peperiksaan dengan sedikit keyakinan yang telah dibekalkan akibat berjaya menguasai beberapa bab pada malam semalam.

Sewaktu keputusan SPM diumumkan, saya mendapat pangkat C6 setelah sepanjang dua tahun memegang pangkat F9.

Itu baru semalaman saya mendapatkan ilmu bagaimana untuk belajar (how to learn). Bayangkanlah jika saya mendapatkannya dengan lebih awal lagi.

Mohon Allah merahmati rakan saya yang banyak memberi dorongan dan kata-kata positif untuk melihat saya juga boleh mendapatkan kelulusan di dalam peperiksaan SPM. 

Amin Ya Rabb.

-Zuraida Noordin-

Wednesday, January 9, 2013

Tips Aplikasi Teknik Nabi

Poster kredit : Nurhidayah Jaafar


Lagi tips untuk dikongsi.

Saya juga sudah terlepas meletakkan "Saya suka..."

Teruskan berusaha, kesilapan adalah proses pembelajaran.


-Zuraida Noordin

Selasa - 8 Januari 2013


Lampu isyarat baru yang berdekatan dengan rumah saya telah berfungsi pagi ini.

Mahu keluar daripada taman tadi, sudah melihat satu barisan kenderaan yang panjang.

20 minit ke sekolah menjadi 30 minit. Fokus di dalam pemanduan. Hanya diam di dalam kereta. Syukur ada radio Ikim. Rancangan Motivasi Pagi di radio Ikim adalah rancangan kegemaran 'Aqil. 

Ketika mahu menutup pintu kereta, 'Aqil berkata kepada saya;

"Ummi, selamat bekerja!"

Wah, berbalas ucapan semangat.

Sebelum dia menyatakan ucapan itu, saya terdahulu berkata kepadanya;

"Cepat turun, Ummi doakan 'Aqil dapat belajar dengan tenang. Amin"

Teknik Nabi yang saya pelajari banyak menenangkan emosi dan mengawal komunikasi agar bercakap hanya perkataan yang baik-baik dengan anak saya. Jika tidak suka kepada perbuatan yang dia lakukan, kita diam atau tutup mata kepada kesalahan dan cari kebaikannya agar dapat mengelakkan kita terjerumus kepada perbuatan melabelkan anak di atas kesalahan yang dilakukan olehnya.


***

Setibanya saya di perkarangan sekolah, 'Aqil sudah nampak kelibat kereta saya masuk dan memakir benar-benar di hadapan tempat dia selalu menunggu. Dia melonjak girang, dan bersegera datang ke kereta.


Belum pun sempat saya bertanya apa yang dipelajarinya hari ini, 'Aqil terus memulakan cerita...

"Ummi tahu bilangan umat Islam di dunia ada berapa orang?"

Saya menggelengkan kepala.

"Bilangan penduduk di Malaysia dalam 27 juta orang. Bilangan umat Islam di dunia ada 1.8 bilion orang," katanya.

"Wah, bagusnya pelajaran yang 'Aqil belajar hari ini," jawab saya.

"'Aqil belajar dalam LIQA tadi bersama Muallim Hafiz," katanya kembali.

"Sungguh, ilmu akan membuatkan 'Aqil menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat," kata saya sambil tangan diletakkan kiri diletakkan ke atas dadanya.

Dia senyum, boleh dikatakan tersengih-sengih.

Kemudian dia menceritakan kepada saya tentang keletihan menjawat jawatan 'Rakan Surau' , tentang Muallimah Suria yang baik dan kisah rakan-rakannya di sekolah.

"Ya Allah, mohon dirahmati guru-guru yang mendidik anak saya mengenal Iman dan Islam. Amin."

Satu perubahan yang menyenangkan hati saya sejak berazam mengaplikasikan Teknik Nabi sepenuhnya dan berusaha untuk diam dan pejam mata. Sungguh hasilnya benar luarbiasa. Mahu bertemu dengan guru kelas 'Aqil bagi memantau tahap fokusnya di dalam kelas pula selepas ini. Alhamdulillah.


-Zuraida Noordin-

Monday, January 7, 2013

Isnin - 7 Januari 2013

'Aqil lewat ke sekolah pada pagi ini. Ketika tiba di perkarangan sekolah, kelihatan semua pelajar telah beratur di perhimpunan. Hari Isnin adalah hari 'liat' ke sekolah. Hari 'pening' dan 'sakit perut'.

Saya mengarahkan 'Aqil untuk turun dan terus mengikuti rakan lain berdiri di dalam perhimpunan. Dia enggan turun dari kereta. Dia mahu mendengar ucapan guru dari dalam kereta sahaja kerana mahu duduk.


'Perhimpunan'. Hari 'pengumuman', 'ucapan' atau 'leteran'. 
Ramai murid-murid tidak suka berada di perhimpunan. Tidak terkecuali 'Aqil.
Saya diam. Tidak banyak keluarkan bicara. 
Mahu menunjukkan muka tidak suka kerana dia tidak menurut arahan saya. 

Ketika saya menemaninya di dalam kereta, saya sempat mengutip komen-komen yang dilontarkan oleh 'Aqil mengenai perhimpunan sekolah. 


"Lamanya *** itu bercakap."
"Pukul berapa mahu habis?"
"*** berleter dah."
"Aqil sudah lenguh tunggu, mari kita balik. 'Aqil tolong ummi buat kerja."
"Dari minggu lepas lagi asyik perhimpunan."

 Sekali-sekala terdengar dengusan darinya. Sudah penat atau bosan barangkali. Saya terus diam.

Saya menahan geram dengan mendiamkan diri. Tiba-tiba datang seorang guru ke kereta saya. Saya beritahu kepada gurunya bahawa dia tidak mahu turun daripada kereta. Terasa suara saya bergetar ketika memberitahu gurunya tadi.

Dia hanya turun dari kereta apabila guru tersebut berjaya memujuknya turun. Guru itu menyatakan kepadanya bahawa dia tidak perlu menghadirkan diri ke perhimpunan pada pagi ini. 

Sebelum turun saya memesan kepadanya untuk mendoakan guru tersebut dengan menyebut "Allah merahmati muallim, Amin." 

Saya juga menitip pesanan untuk dia menceritakan ilmu penting yang telah dia pelajari pada hari ini ketika pulang dari sekolah nanti.

'Aqil menganggukkan kepala dan bersalaman sebelum turun dari kereta.

Guru tersebut kemudiannya membawanya 'Aqil terus ke kelasnya melalui jalan belakang di sebelah kantin. 


Saya mendoakan guru itu dirahmati oleh Allah. Amin. Beliau telah membantu saya di dalam memujuk 'Aqil.



Saya berlalu dari perkarangan sekolah pada jam 9.38 pagi, dan perhimpunan masih lagi berlangsung.


Sungguh. Sebagai ibu yang serba kekurangan, saya hampir sahaja merengus kemarahan. 
Saya masih baru di dalam aplikasi Teknik Nabi. Sering kehilangan kata-kata.

Istighfar sebagai penyelamat di dalam situasi sebegini.

***

Saat pulang dari sekolah, 'Aqil menunjukkan reaksi gembira apabila saya sudah sampai untuk menjemputnya pulang. Dia kelihatan riang. Sedang seronok bermain dengan rakan agaknya.

Saya tanyakan kepadanya tentang hari persekolahannya hari ini. Dia menjawab; "O.K!"

Saya beritahu kepadanya; 

"Ummi gembira dan kagum dengan semangat 'Aqil untuk tetap berada di sekolah. Apabila setiap hari 'Aqil ke sekolah, 'Aqil akan menjadi seorang murid yang berilmu."

Saya memberikan sentuhan fizikal di tangan 'Aqil dengan menggenggam jemarinya. Dia tersenyum.

Kemudian dia mula menceritakan apa yang berlaku di sekolah. Tentang seorang guru yang lucu. Tentang bacaan hafazan yang banyak hari ini.

'Aqil gembira untuk ke sekolah. Barangkali suasana perhimpunan mungkin tidak menyukakan dirinya untuk ke sekolah pada hari Isnin. Ada sesuatu yang perlu dibuat di dalam 'perhimpunan' agar ia lebih menarik minat kanak-kanak.

Saya juga pernah menjadi pelajar yang berumur 11 tahun seperti 'Aqil. Apa yang saya ingat di dalam perhimpunan di sekolah rendah saya dulu adalah guru membuat pengumuman tentang aktiviti yang bakal diadakan pada minggu ini dan upacara pemberian hadiah bagi sebarang acara sukan mahupun ko-kurikulum yang berlangsung pada minggu sebelumnya. Pengumuman tentang pencapaian atau lantikan pengawas juga dibuat pada hari perhimpunan.

Perhimpunan berlangsung tidak melebih 40 minit. Iaitu satu waktu pelajaran sahaja.

Ketika memandu, saya memberitahu 'Aqil bahawa pada malam hari, selepas solat maghrib mahu ke kedai buku untuk membeli beberapa buah buku latihan. Dia gembira. Mahu mencari komik Safee Sali katanya.

Setibanya di rumah, dia bermain bola dengan rakannya di belakang rumah. Menjelang maghrib, saya memanggilnya masuk ke dalam rumah untuk mandi dan bersiap sedia untuk solat maghrib. Hari ini saya mahu memintanya menjadi imam. 

Saya katakan kepadanya;

"'Aqil, hari ini kita solat jemaah. 'Aqil jadi imam."

Dia tersenyum lantas bersedia untuk solat. Kami bersolat bersama-sama.

Seusai solat, saya bersiap dan menghidupkan enjin kereta untuk ke kedai buku. Ketika berada di dalam kedai buku, saya melantiknya sebagai pembantu untuk mencari buku latihan matematik. Dia kelihatan sangat bersungguh. 

Saya menyatakan kepadanya sewaktu memandu pulang ke rumah;

"Ummi kagum dengan 'Aqil kerana dapat membantu Ummi tadi. Ummi suka, Rasul suka dan Allah suka. 'Aqil pasti diberikan pahala."

Dia tersenyum. Senyuman itu pelenyap duka di hati.

Hari ini hari cuti untuk latihan kerja rumah kerana saya pergi ke kedai buku tadi.

Ada banyak lagi Teknik Nabi yang belum saya cuba aplikasi.

Saya mahu membuat ulangkaji dan membina skrip perbualan di hari-hari yang mendatang berpandukan Teknik Nabi yang saya pelajari.

"Ya Allah, kami mohon ampun dan rahmat kasih sayang-Mu, ampunkanlah dosa-dosa kami. Amin."

-Zuraida Noordin-

Sunday, January 6, 2013

Ahad - 6 Januari 2013

'Aqil telah bermalam di rumah nenek dan atuk malam semalam.

Sewaktu saya dan suami mahu pulang, dia sudah pun tertidur di ruang tamu rumah ibu mertua.

Saya dan suami mengucup pipinya dan kemudian kami pulang ke rumah. Kata suami, esok pagi beliau akan pergi ke rumah ibunya untuk menghantar baju 'Aqil. Saya dan suami harus bekerja pada hari Ahad. Selalunya 'Aqil akan mengikuti salah seorang daripada kami ke tempat kerja. Hari ini dia memilih untuk tinggal di rumah neneknya saja. Katanya mahu makan nasi bersama 'Sambal Tumis Ikan Keli' yang dimasakkan istimewa oleh nenek.

Rupanya, pagi-pagi tadi sudah mengajak atuknya pergi mencari ikan keli untuk dibuat sambal tumis dan membeli nasi lemak buat sarapan pagi. Nenek tahu kegemaran 'Aqil ialah 'Nasi Rinjing' iaitu nasi putih yang digoreng bersama kuah sambal tumis. Nenek suka menggembirakan cucu dan anaknya dengan masakannya.

Pada petang tadi, semasa saya tiba di rumah ibu mertua, 'Aqil senyum dan berkata;

"Ummi, sudah makan? Kalau belum makan, pergi ke dapur untuk makan. Nenek masak ikan keli hari ini."

Aduh. Sudah seperti anak yang baru pulang dari sekolah, disuruh ibunya untuk pergi makan. Gelihati saya dibuatnya. Ibu mertua yang duduk disebelahnya tersenyum memerhati.

Ketika saya mula untuk menjamah nasi, bapa mertua pun pulang. Beliau menjinjing beg plastik berisi 'nugget' dan menyerahkan kepada 'Aqil.

'Aqil mencapai beg plastik sambil bertanya;

"Atuk beli di mana 'nugget' ini?" 

Tangannya mengeluarkan secucuk 'nugget' dari plastik. Sebelum memasukkan ke mulutnya dia bersuara;

"Terima kasih Atuk!"

Saya senang memerhatikan tingkah lakunya itu. Tidak lama selepas itu suami saya tiba berasingan menaiki motor ke rumah ibu mertua. Sebenarnya kami sekeluarga memang suka dengan sambal tumis ikan keli ibu mertua. Saya pasti suami juga merindui masakan ibunya.

Selepas menunaikan solat Maghrib, 'Aqil makan bersama-sama dengan ayahnya. Ibu mertua pula sibuk menyiapkan bekalan. Tertanya-tanya juga bekalan untuk siapa. Beliau meminta kami menyerahkan bekalan itu kepada  anaknya yang seorang lagi, abang kepada suami saya yang tinggal berdekatan dengan rumah kami. "Nasi Rinjing" juga menjadi kegemaran abang suami saya.

Saya tidak mengikuti untuk menghantar bekalan tersebut. Suami hanya pergi bersama 'Aqil menaiki motosikal. Saya pula terus memakir kereta di garaj belakang rumah. Letih juga hari ini kerana membuat beberapa perubahan pada alatan pejabat petang tadi. Saya ingin mandi dan berehat di rumah sahaja. 

***
Suami dan 'Aqil pulang ketika saya sedang berehat di ruang tamu. Suami menceritakan bahawa abangnya makan dengan lahap sekali. 

Mestilah, masakan ibu terbaik di dunia!

'Aqil mengambil tempat di kerusi panjang rotan dan merebahkan dirinya di situ. Saya mengambil kesempatan untuk mengaplikasikan Teknik Nabi kepada 'Aqil.

Saya bertanyakan apa yang dibuatnya seharian bersama nenek dan atuk. Saya gunakan Teknik Nabi Hadith 'Ubay Bahagia'.

"Di dalam sehari ini, apakah perkara penting di antara perkara-perkara yang penting yang telah 'Aqil lakukan bersama atuk dan nenek?"

'Aqil tersenyum-senyum, selepas itu menjawab dengan nada suara yang sengaja dimanjakan.

"Aqil, duduk tepi nenek."

Kemudian saya berkata;

"Ummi suka 'Aqil buat perkara yang baik. Allah dan Rasul pun suka. 'Aqil pasti beroleh pahala."

Setelah mengucapkan kata-kata itu, saya mengucup pipi 'Aqil.

Dia tersenyum simpul.

Saya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pertanyaan, bimbang nanti tersasar menjadi menyiasat dan mencari kesalahan pula. 

Seketika kemudian, saya lihat dia sudah tertidur di atas kerusi panjang itu.

***

Untuk aplikasi Teknik Nabi, hari ini saya praktiskan untuk anak didik saya yang menghidapi masalah pembelajaran di dalam membaca dan mengira. Fatin namanya. Saya akan kongsikan di entri saya yang seterusnya.

-Zuraida Noordin-