Malam 'Kebangkitan' Matematik



Pada minggu peperiksaan SPM di sekitar tahun 1993, seorang rakan sekelas telah menumpang tidur di rumah saya kerana rumahnya terletak jauh daripada sekolah. 


Pada malam peperiksaan kertas Matematik, saya duduk di sebelahnya yang sedang tekun mengulangkaji (sambil menunjukkan muka simpati, mahu mengulangkaji tetapi tidak faham apa yang telah dipelajari).


Rakan saya memahami keadaan saya yang sudah tahap 'di ambang wati'.
Lalu beliau menunjukkan bab-bab yang mudah untuk dikuasai di samping teknik-teknik yang pantas untuk mengira dan memahami jalan kira. 

Beliau menyatakan, untuk 'score' mungkin mustahil, sekadar memastikan lulus, dengan izin Allah kamu pasti dapat lulus.

Lalu pada malam itu, saya menurut saranannya untuk berlatih bab-bab yang telah diajarkan oleh beliau pada malam itu. Senyuman yang diberikan oleh beliau pada malam itu apabila melihat saya berjaya menyelesaikan soalan demi soalan, benar menyuntik semangat dan memberi motivasi kepada saya.

Keesokannya saya memasuki dewan peperiksaan dengan sedikit keyakinan yang telah dibekalkan akibat berjaya menguasai beberapa bab pada malam semalam.

Sewaktu keputusan SPM diumumkan, saya mendapat pangkat C6 setelah sepanjang dua tahun memegang pangkat F9.

Itu baru semalaman saya mendapatkan ilmu bagaimana untuk belajar (how to learn). Bayangkanlah jika saya mendapatkannya dengan lebih awal lagi.

Mohon Allah merahmati rakan saya yang banyak memberi dorongan dan kata-kata positif untuk melihat saya juga boleh mendapatkan kelulusan di dalam peperiksaan SPM. 

Amin Ya Rabb.

-Zuraida Noordin-

Comments

Popular Posts