Isnin - 7 Januari 2013

'Aqil lewat ke sekolah pada pagi ini. Ketika tiba di perkarangan sekolah, kelihatan semua pelajar telah beratur di perhimpunan. Hari Isnin adalah hari 'liat' ke sekolah. Hari 'pening' dan 'sakit perut'.

Saya mengarahkan 'Aqil untuk turun dan terus mengikuti rakan lain berdiri di dalam perhimpunan. Dia enggan turun dari kereta. Dia mahu mendengar ucapan guru dari dalam kereta sahaja kerana mahu duduk.


'Perhimpunan'. Hari 'pengumuman', 'ucapan' atau 'leteran'. 
Ramai murid-murid tidak suka berada di perhimpunan. Tidak terkecuali 'Aqil.
Saya diam. Tidak banyak keluarkan bicara. 
Mahu menunjukkan muka tidak suka kerana dia tidak menurut arahan saya. 

Ketika saya menemaninya di dalam kereta, saya sempat mengutip komen-komen yang dilontarkan oleh 'Aqil mengenai perhimpunan sekolah. 


"Lamanya *** itu bercakap."
"Pukul berapa mahu habis?"
"*** berleter dah."
"Aqil sudah lenguh tunggu, mari kita balik. 'Aqil tolong ummi buat kerja."
"Dari minggu lepas lagi asyik perhimpunan."

 Sekali-sekala terdengar dengusan darinya. Sudah penat atau bosan barangkali. Saya terus diam.

Saya menahan geram dengan mendiamkan diri. Tiba-tiba datang seorang guru ke kereta saya. Saya beritahu kepada gurunya bahawa dia tidak mahu turun daripada kereta. Terasa suara saya bergetar ketika memberitahu gurunya tadi.

Dia hanya turun dari kereta apabila guru tersebut berjaya memujuknya turun. Guru itu menyatakan kepadanya bahawa dia tidak perlu menghadirkan diri ke perhimpunan pada pagi ini. 

Sebelum turun saya memesan kepadanya untuk mendoakan guru tersebut dengan menyebut "Allah merahmati muallim, Amin." 

Saya juga menitip pesanan untuk dia menceritakan ilmu penting yang telah dia pelajari pada hari ini ketika pulang dari sekolah nanti.

'Aqil menganggukkan kepala dan bersalaman sebelum turun dari kereta.

Guru tersebut kemudiannya membawanya 'Aqil terus ke kelasnya melalui jalan belakang di sebelah kantin. 


Saya mendoakan guru itu dirahmati oleh Allah. Amin. Beliau telah membantu saya di dalam memujuk 'Aqil.



Saya berlalu dari perkarangan sekolah pada jam 9.38 pagi, dan perhimpunan masih lagi berlangsung.


Sungguh. Sebagai ibu yang serba kekurangan, saya hampir sahaja merengus kemarahan. 
Saya masih baru di dalam aplikasi Teknik Nabi. Sering kehilangan kata-kata.

Istighfar sebagai penyelamat di dalam situasi sebegini.

***

Saat pulang dari sekolah, 'Aqil menunjukkan reaksi gembira apabila saya sudah sampai untuk menjemputnya pulang. Dia kelihatan riang. Sedang seronok bermain dengan rakan agaknya.

Saya tanyakan kepadanya tentang hari persekolahannya hari ini. Dia menjawab; "O.K!"

Saya beritahu kepadanya; 

"Ummi gembira dan kagum dengan semangat 'Aqil untuk tetap berada di sekolah. Apabila setiap hari 'Aqil ke sekolah, 'Aqil akan menjadi seorang murid yang berilmu."

Saya memberikan sentuhan fizikal di tangan 'Aqil dengan menggenggam jemarinya. Dia tersenyum.

Kemudian dia mula menceritakan apa yang berlaku di sekolah. Tentang seorang guru yang lucu. Tentang bacaan hafazan yang banyak hari ini.

'Aqil gembira untuk ke sekolah. Barangkali suasana perhimpunan mungkin tidak menyukakan dirinya untuk ke sekolah pada hari Isnin. Ada sesuatu yang perlu dibuat di dalam 'perhimpunan' agar ia lebih menarik minat kanak-kanak.

Saya juga pernah menjadi pelajar yang berumur 11 tahun seperti 'Aqil. Apa yang saya ingat di dalam perhimpunan di sekolah rendah saya dulu adalah guru membuat pengumuman tentang aktiviti yang bakal diadakan pada minggu ini dan upacara pemberian hadiah bagi sebarang acara sukan mahupun ko-kurikulum yang berlangsung pada minggu sebelumnya. Pengumuman tentang pencapaian atau lantikan pengawas juga dibuat pada hari perhimpunan.

Perhimpunan berlangsung tidak melebih 40 minit. Iaitu satu waktu pelajaran sahaja.

Ketika memandu, saya memberitahu 'Aqil bahawa pada malam hari, selepas solat maghrib mahu ke kedai buku untuk membeli beberapa buah buku latihan. Dia gembira. Mahu mencari komik Safee Sali katanya.

Setibanya di rumah, dia bermain bola dengan rakannya di belakang rumah. Menjelang maghrib, saya memanggilnya masuk ke dalam rumah untuk mandi dan bersiap sedia untuk solat maghrib. Hari ini saya mahu memintanya menjadi imam. 

Saya katakan kepadanya;

"'Aqil, hari ini kita solat jemaah. 'Aqil jadi imam."

Dia tersenyum lantas bersedia untuk solat. Kami bersolat bersama-sama.

Seusai solat, saya bersiap dan menghidupkan enjin kereta untuk ke kedai buku. Ketika berada di dalam kedai buku, saya melantiknya sebagai pembantu untuk mencari buku latihan matematik. Dia kelihatan sangat bersungguh. 

Saya menyatakan kepadanya sewaktu memandu pulang ke rumah;

"Ummi kagum dengan 'Aqil kerana dapat membantu Ummi tadi. Ummi suka, Rasul suka dan Allah suka. 'Aqil pasti diberikan pahala."

Dia tersenyum. Senyuman itu pelenyap duka di hati.

Hari ini hari cuti untuk latihan kerja rumah kerana saya pergi ke kedai buku tadi.

Ada banyak lagi Teknik Nabi yang belum saya cuba aplikasi.

Saya mahu membuat ulangkaji dan membina skrip perbualan di hari-hari yang mendatang berpandukan Teknik Nabi yang saya pelajari.

"Ya Allah, kami mohon ampun dan rahmat kasih sayang-Mu, ampunkanlah dosa-dosa kami. Amin."

-Zuraida Noordin-

Comments

Popular Posts