Selasa - 8 Januari 2013


Lampu isyarat baru yang berdekatan dengan rumah saya telah berfungsi pagi ini.

Mahu keluar daripada taman tadi, sudah melihat satu barisan kenderaan yang panjang.

20 minit ke sekolah menjadi 30 minit. Fokus di dalam pemanduan. Hanya diam di dalam kereta. Syukur ada radio Ikim. Rancangan Motivasi Pagi di radio Ikim adalah rancangan kegemaran 'Aqil. 

Ketika mahu menutup pintu kereta, 'Aqil berkata kepada saya;

"Ummi, selamat bekerja!"

Wah, berbalas ucapan semangat.

Sebelum dia menyatakan ucapan itu, saya terdahulu berkata kepadanya;

"Cepat turun, Ummi doakan 'Aqil dapat belajar dengan tenang. Amin"

Teknik Nabi yang saya pelajari banyak menenangkan emosi dan mengawal komunikasi agar bercakap hanya perkataan yang baik-baik dengan anak saya. Jika tidak suka kepada perbuatan yang dia lakukan, kita diam atau tutup mata kepada kesalahan dan cari kebaikannya agar dapat mengelakkan kita terjerumus kepada perbuatan melabelkan anak di atas kesalahan yang dilakukan olehnya.


***

Setibanya saya di perkarangan sekolah, 'Aqil sudah nampak kelibat kereta saya masuk dan memakir benar-benar di hadapan tempat dia selalu menunggu. Dia melonjak girang, dan bersegera datang ke kereta.


Belum pun sempat saya bertanya apa yang dipelajarinya hari ini, 'Aqil terus memulakan cerita...

"Ummi tahu bilangan umat Islam di dunia ada berapa orang?"

Saya menggelengkan kepala.

"Bilangan penduduk di Malaysia dalam 27 juta orang. Bilangan umat Islam di dunia ada 1.8 bilion orang," katanya.

"Wah, bagusnya pelajaran yang 'Aqil belajar hari ini," jawab saya.

"'Aqil belajar dalam LIQA tadi bersama Muallim Hafiz," katanya kembali.

"Sungguh, ilmu akan membuatkan 'Aqil menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat," kata saya sambil tangan diletakkan kiri diletakkan ke atas dadanya.

Dia senyum, boleh dikatakan tersengih-sengih.

Kemudian dia menceritakan kepada saya tentang keletihan menjawat jawatan 'Rakan Surau' , tentang Muallimah Suria yang baik dan kisah rakan-rakannya di sekolah.

"Ya Allah, mohon dirahmati guru-guru yang mendidik anak saya mengenal Iman dan Islam. Amin."

Satu perubahan yang menyenangkan hati saya sejak berazam mengaplikasikan Teknik Nabi sepenuhnya dan berusaha untuk diam dan pejam mata. Sungguh hasilnya benar luarbiasa. Mahu bertemu dengan guru kelas 'Aqil bagi memantau tahap fokusnya di dalam kelas pula selepas ini. Alhamdulillah.


-Zuraida Noordin-

Comments

Popular Posts