Di Sudut Kamar Hatiku



Resah hatiku merindui
Terbayang-bayang anggun, senyum dan tawamu
Baru semalam rasanya bagai setahun
Pemergianmu tak tertanggung

Indah suasana tika bersama
Siang dan malam seolah di alam syurga
Cintamu itu cinta yang setulus jiwa
Dimana ku cari gantinya

Telah kulupa detik hitam selamanya
Yang menodai cinta kita
Tidak terdaya menahan takdirnya
Engkau abadi di dalam dada

Sepi dunia didalam riuh rendahnya
Pedih jiwaku tanggung derita
Patah hatiku kesalan tiada terhingga
Kau satu dalam berjuta

Kepada Tuhan tempatku taruh harapan
Engkau selamanya dalam bahagia
Cintamu itu biar kukenanginya
Di sudut kamar hatiku...

Sekadar coretan buat kenangan
Cerita kita di sini kuabadikan
Tinggi harapan semoga diketemukan
Di alam impian syurga idaman
Tinggi harapan semoga diketemukan
Di alam impian syurga idaman


Kelmarin, sewaktu kereta saya sedang meluncur laju di atas jambatan Pulau Pinang menuju ke Balik Pulau, kedengaran di corong radio kereta, berkumandangnya lagu 'Di Sudut Kamar Hatiku' dendangan merdu 'Raja Pop Malaysia' Jamal Abdillah. Melodi yang sederhana, suara Jamal yang mendayu-dayu mendendangkan bait-bait puitis liriknya, sedikit sebanyak mengusik kerinduan di hati saya kepada Mak yang telah meninggal dunia hampir dua belas tahun sementara Bapak yang menyusul selepas lima tahun kepergian Mak. Sunyi.

Sejujurnya, hati saya masih belum puas melakukan bakti yang terbaik kepada kedua orang tua saya. Tetapi siapa yang bisa menolak ajal. Takdir hidup, mati, jodoh dan pertemuan segalanya mengikut ketentuan dariNya. Titik. Saya redha. Pasti Allah merencanakan yang terbaik buat hambaNya.

Kedua ibu dan bapa saya adalah insan yang terbaik pernah saya kenali. Mereka mengajar saya untuk berdikari dan tidak mengharapkan belas ihsan dari orang lain untuk meneruskan kehidupan. Saya telah diasuh untuk menghormati orang yang lebih tua. Melakukan perkara yang baik dan menjaga maruah keluarga.

Sedari kecil saya sudah boleh membuat bancuhan kuih-kuih untuk di buat jualan. Mak adalah 'master chef' yang mengajar saya membuat pelbagai jenis kuih. Kata Mak, saya rajin di dapur. Setiap hari saya sering membantu Mak untuk menyediakan kuih-kuih jualan. Seingat saya, kuih jualan yang saya mula belajar membuatnya adalah kuih karipap. Kebiasaannya kuih karipap di buat pada waktu malam. Adik beradik saya yang lain juga seringkali turun padang membantu di dalam proses pembuatannya. Semuanya telah diberi tugas yang khas oleh Mak. Ada yang kerjanya memotong ubi keledek, membuat inti, menguli tepung, mencanai, mengelim, menyimpan kuih yang telah siap, dan menggoreng kuih tersebut pada pagi keesokan harinya.

Tugas kami tidak spesifik kepada satu-satu proses sahaja. Kami boleh bertukar-tukar tempat untuk mengelakkan jemu. Antara kuih jualan yang popular di samping kuih karipap adalah kuih pau goreng. Kuih pau goreng ini telah diajar oleh 'Aunty Mun', jiran di kawasan kuarters tempat tinggal kami di Jalan Asuhan kepada Mak. Kuih pau goreng ini adalah seperti kuih pau biasa cuma ianya digoreng tidak dikukus dan berintikan kelapa manis. Inti kelapa manis itu berwarna coklat kehitaman kerana pemanisnya adalah gula merah.

Pada mulanya, Mak hanya membantu Aunty Mun di dalam menyediakan kuih ini, kerana kuih ini hanya boleh disediakan pada pagi hari untuk jualan tengahari. Ini adalah kerana bancuhan kuih ini mengandungi yis, dan memerlukan suasana yang berhawa panas untuk mengembangkan tekstur adunan kuih pau tersebut. Tetapi selepas Aunty Mun mengetahui dirinya mengandung lagi, dia telah berhenti untuk membuat kuih jualan. Disebabkan permintaan tinggi terhadap kuih pau goreng ini, Mak telah mengambil keputusan untuk terus mengusahakan kuih pau goreng ini.

Antara kuih-kuih lain yang kami jual mengikut menu harian adalah kuih peria, kuih buah melaka, lepat pisang, lepat ubi, kuih cara, kuih koci, tepung bungkus, lepat liat, apom 'eno', kuih keria, kuih donat, seri muka, tepung talam, kuih abok-abok, kuih ondeh-ondeh atau kuih bom, cucur kodok, cucur jagung, kuih bengkang ubi, bengkang roti, bengkang tepung, cucur cempedak dan pisang goreng.

Bapak pula mengajar kami dari segi latihan yang berkemahiran iaitu menyiang ikan. Kenapa saya kata begitu, kerana Bapak mempunyai satu hobi iaitu menjala ikan di tali air. Selalunya Bapak akan bertanya siapa yang akan ikut dengannya pergi menjala ikan. Sesiapa yang ikut pergi menjala akan ditugaskan untuk membawa baldi atau karungan guni plastik berisi air sebagai wadah bagi meletakkan ikan-ikan tangkapan. Jenis ikan yang selalu kami dapat ada ikan sepat, ikan lampam dan ikan pipih.

Sesiapa yang tidak ikut Bapak pergi menjala ikan, bakal ditugaskan menyiang ikan. Saya selalu memilih untuk megikuti Bapak pergi menjala. Oleh sebab itu kakak saya Yong, Nyah dan Ami yang mahir menyiang ikan, kerana mereka seringkali mempraktiskan kemahiran menyiang ikan berkilo-kilo. Pernah pada suatu hari, musim ikan sedang banyak agaknya, besen besar dan periuk besar di rumah kami penuh dengan ikan hasil hobi menjala ikan Bapak. Bapak mengzahirkan wajah berpuashati kerana mendapat hasil jalaan yang banyak, tetapi Mak dan tiga kakak saya iaitu Yong, Nyah dan Ami memandang sesama sendiri. Pandangan tanpa suara itu membawa maksud yang mereka perlu habiskan kerja siang-menyiang sehingga lewat malam.
Itulah adalah sebahagian kecil kenangan yang saya tidak dapat lupakan mengenai mereka; ibu dan bapa saya.

Apakah perasaan kita apabila kehilangan ibu dan ayah?

Hanya yang merasainya yang bisa merasa. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Ibu dan bapa tidak ada galang gantinya. Perginya mereka dari hidup kita membaca cinta suci hingga ke syurga. Terkadang perasaan ini dihantui dosa yang masih belum terampun. Masakan tidak, berapa kerap sangatlah kita memohon ampun kepada kedua ibu dan bapa kita selain pada pagi Hari Raya Aidil Fitri. Tiba-tiba kita mendapat tahu nyawa mereka sudah bercerai dari badan. Di ketika itu, sesalan demi sesalan muncul. Tangisan sesalan itu sedikit pun tidak dapat membantu ibu dan bapa kita melainkan bait-bait doa dipanjatkan kepada Tuhan buat kesejahteraan diri mereka di alam baqa. Kepada yang masih lagi memiliki kedua-duanya atau pun salah satu daripadanya, berbaktilah kepada mereka selagi nyawa mereka masih di jasad. Apa saja hajat mereka selagi anda termampu, penuhilah. Melihat wajah mereka sahaja sudah ada dicatit satu kebajikan, inikan pula jika anda melakukan lebih dari itu.

Harus diingat, jika anda mahu anak anda berbuat bakti kepada anda, terlebih dahulu anda perlu mengalirkan bakti kepada kedua ibu dan bapa anda. Begitu juga jika anda mahu anak anda sering mendoakan anda, anda perlu lebih dahulu mendoakan kesejahteraan kedua ibu dan bapa anda. InsyaAllah, setiap kebaikan dan contoh yang baik akan memberi penghasilan yang baik juga.

Seandainya mereka sudah meninggalkan dunia ini, anda masih lagi boleh berbakti kepada mereka dengan berusaha menjadikan diri anda seorang yang soleh dan solehah. Apabila anda berusaha untuk menjadi seorang mukmin yang bertaqwa, anda juga telah menjadi wakaf bergerak buat kedua ibu dan bapa anda di atas segala kebaikan yang anda lakukan, ibu dan bapa anda juga memperolehi manfaatnya. Bermohonlah kepada Tuhan Yang Maha Esa, untuk mengampuni dosa-dosa kedua ibu dan bapa kita. Kerana kadang-kadang di atas kerana memenuhi tuntutan kita, telah terganggu ibadat mereka kepada Tuhan. Sebagai contoh, di saat waktu solat sudah menghampiri penghabisan, ibu kita masih lagi melayan diri kita yang tidak henti-henti menangis. Akibatnya ibu kita telah terlepas waktu solatnya dek kerana kita yang menangis tidak henti-henti.



Maksudnya : Ya Allah! Ampunilah bagiku segala dosaku dan juga dosa dua ibu bapaku dan kasihanilah mereka keduanya sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku di masa kecil.



Di samping itu anda juga boleh meneruskan hubungan baik dengan adik-beradik ibu dan bapa anda serta rakan-rakan baik mereka. Antara perkara yang anda boleh lakukan adalah mengunjugi atau menziarahi mereka, memberi hadiah serta mengucapkan kata-kata yang baik kepada mereka. Ini bertepatan dengan saranan Nabi Muhammad SAW untuk kita menyambung jalinan silaturrahim yang terputus (akibat kematian dan sebagainya) di dalam mahfum hadisnya;

Nabi SAW bersabda "Tidak bersilaturahim (namanya) orang yang membalas kunjungan atau pemberian, tetapi (yang dinamakan bersilaturahim itu adalah) yang menyambung apa yang putus."

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

-Zuraida Noordin, Jan 2012
 Memberi Untuk Sebuah Kehidupan [Sedekah*Ilmu*Doa]


Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."

(Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)

Comments

Popular Posts