Bersara Awal di Usia Muda


Ramai yang berangan-angan untuk bersara di usia yang muda. Dan apabila bersara, mahunya ada harta yang banyak. Jika benar itu yang dicari, kasihan pada orang yang sudah berada di dalam keluarga yang kaya dan berharta sejak dari buaian hingga dewasa. Baru saja dilahirkan sudah pegang status pesara.

Harus diingat, kita ini sedang hidup, bersaranya adalah apabila kita mati. Selagi kita hidup, Allah yang menetapkan rezeki kita mengikut keperluan pada hari itu. Selagi kita hidup kita harus bekerja atau melakukan sesuatu. Melalui pengalaman sendiri, diri ini hanya sudah 'bersara' dari bekerja dengan orang. Sewaktu mahu bersara, hutang sudah tiada. 

Adakah itu dikatakan 'bebas kewangan'? Oh tidak!

Setiap hari ada saja perbelanjaan yang akan kita keluarkan dan pada masa hadapan pula, kita tidak pasti apa yang akan berlaku. Walau ada harta yang banyak sewaktu kita bersara muda, ianya juga akan habis sedikit demi sedikit.

Pada fikiran saya yang ada kita harus bekerja setiap hari. Tidak kira kerja itu di atas dasar minat, kerja yang untuk memudahkan orang lain, atau apa saja, pokok pangkalnya ada sesuatu yang memberi manafaat kepada kita dan orang lain pada hari itu.

Hidup bukan sendiri-sendiri. Selalu letakkan pekerjaan yang akan dilaksanakan itu adalah untuk diri kita dan untuk diri orang lain dan dilakukan semata-mata kerana Allah Taala, Tuhan Yang Esa.

Jika boleh dielakkan berfikiran mahu bekerja hanya mahu mendapatkan wang. Tetapi berusaha untuk mendapatkan rezeki. Rezeki lebih bernilai daripada wang. Wang hanyalah salah satu cabang daripada rezeki. Ada banyak benda yang manusia tidak boleh beli dengan menggunakan wang. Ada banyak juga benda yang manusia boleh mendapatkannya tanpa menggunakan wang.

Oleh dengan itu, apabila kita faham apa yang dimaksudkan dengan kaya. Kita hanya meminta daripada Yang Maha Kaya. Apabila kita meminta pula, kita hanya meminta apa yang kita PERLU bukan apa yang kita MAHU. Kadang-kala apa yang kita mahu bertepatan dengan perlu. Kebanyakkannya apa yang kita mahu adalah bukan apa yang kita perlu.

"Ada dua orang manusia. Seorang guru dan seorang murid. Datang ke sekolah yang sama. Berada di kelas yang sama. Seorang mengajar, dan seorang belajar. Kedua-duanya melaksanakan apa yang PERLU dilaksanakan. Keduanya juga ada mahunya yang masing-masing. Yang mengajar MAHU wang kerana sudah memenuhi kePERLUan bekerja sebagai guru dan menampung kehidupan. Yang belajar MAHU ilmu yang difahami sebagai kePERLUan untuk meneruskan kehidupan. Kedua-duanya sedang BEKERJA."

Yang menjadi keutamaan sekarang ini adalah kita rencanakan per'sara'an kekal kita dengan sebaiknya bukan persaraan dunia yang bersifat sementara.


-Zuraida Noordin-










Comments

Popular Posts