'Hot Button'

 Kredit foto : Kevin CW Tan
Di dalam kotak merah di atas ialah lelaki 'Australia'

Menyorot kembali di saat saya berpeluang ditempatkan untuk berkhidmat di pejabat pengurusan, International Software Centre Malaysia (The largest Software Division in Malaysia-acknowledged by Malaysian Government), di sinilah 'hot button' untuk saya melepasi halangan berbahasa inggeris sepenuhnya. Kenapa saya berkata begitu? Ini adalah kerana, pakar-pakar IT dari beberapa negara luar 'berkampung' di sini untuk mengurus, menyelenggara, menginovasi dan memberi khidmat sokongan kepada lebih beratus aplikasi yang digunakan oleh Standard Chartered Bank di lebih 70 negara seluruh Asia, Africa dan Timur Tengah.

Hari pertama saya berada di pejabat pengurusan yang baru, saya didatangi oleh seorang lelaki berkulit putih yang berbicara di dalam longhat bahasa inggeris yang sukar untuk saya memahaminya.

"Aduh, macamana ini? Habislah...." getus hati saya.

Lelaki itu terus berbicara sehingga pada satu ketika beliau berhenti dan merenung ke wajah saya. (Agaknya muka saya pucat atau 'stone' pada ketika itu). 

Saya menelan air liur dan mula berbicara.

"Boleh Tuan bercakap dengan lebih perlahan sedikit supaya saya boleh mengerti apa yang tuan katakan?" bicara saya di dalam bahasa inggeris yang lintang-pukang. 

Beliau mengulangi permintaannya, dan kali ini saya lebih memahami dengan apa yang sedang diperkatakan olehnya.

Melihat kembali senarai data pakar-pakar dari luar yang ada di tangan saya, barulah saya tahu yang beliau adalah seorang lelaki inggeris berasal dari Australia. 

Selesai saya menguruskan permintaannya, saya berkata di dalam hati;
"Susahnya kalau tidak fasih berbahasa inggeris, hari-hari aku akan berjumpa dengan orang-orang asing ini, mana mungkin setiap kali mereka datang aku bertindak melarikan diri, mahu berbicara di dalam bahasa melayu, ibarat itik dengan ayam pula jadinya nanti".

Sedang leka saya menyusun atur barang-barang di meja kerja, datang pula seorang lelaki berketurunan cina, meminta beberapa keperluan untuk meja kerjanya. Dari sudut pertuturan bahasa inggerisnya, saya yakin beliau bukan dari Malaysia. Beliau memperkenalkan namanya dan dari negara mana beliau berasal. Oh, bahasa inggerisnya mudah untuk difahami, hanya ada sedikit slanga Hong Kong yang perlu diulang bagi memastikan kehendaknya tepat seperti yang diminta. Saya memohon untuk diberikan tempoh bagi melunaskan permintaanya dan beliau lantas berlalu menuju ke mejanya selepas mengucapkan terima kasih.

Kemudian telefon di meja saya pula berbunyi. Saya mengangkat dan mendengar akan suara di sebelah sana memperkenalkan dirinya dan ingin bercakap dengan saya. Hati saya mulai resah.

"Sudah, siapa pula kali ini? Sukar juga mahu memahami bahasa inggerisnya", saya mengomel di dalam hati.

Apabila saya bertanya beliau membuat panggilan dari mana, beliau menjawab daripada Chennai, India.

Nah! saya terperangkap, semua yang berurusan dengan saya tidak boleh berbahasa melayu. Mahu tidak mahu saya kena buang rasa malu yang menebal di dalam diri saya untuk terus bertutur di dalam bahasa inggeris walaupun 'lintang-pukang'.

Sebetulnya, saya boleh membaca dan memahami tulisan di dalam bahasa inggeris, kemahiran mendengar dan menyebutkan perkataan saya yang agak lemah. Selalu akan tersasul hingga tersembur-sembur. [Kah! Kah! Kah!]

Selepas daripada insiden itu, saya lebih berani dan tenang bertutur menggunakan bahasa inggeris kerana semua orang yang menuturkan bahasa itu di dalam dialek bahasa masing-masing. Tujuannya hanya satu, untuk berkomunikasi. 'Self-esteem' saya juga meningkat di sini kerana mereka senang untuk duduk berbual-bual dan bercakap-cakap di ruang rehat dan ruang makan pejabat dengan saya dan beberapa orang rakan dari pejabat pengurusan. Banyak pengetahuan yang saya perolehi khasnya pengetahuan dari sudut budaya dan cara hidup mereka di negara asal mereka. 

Sebagai kesimpulan peribadi, saya juga lebih memahami bahawa kemahiran berbahasa boleh diperolehi daripada persekitaran, salah satunya adalah persekitaran yang mendesak. Di dalam hati saya memanjatkan kesyukuran kerana Tuhan telah menempatkan saya di tempat ini bagi 'mengajar' saya berbahasa inggeris dengan orang yang tidak boleh bertutur bahasa melayu. Tuhan sangat mengerti kelemahan yang ada dalam diri saya dan membantu saya di dalam mengatasinya pada setiap saat. Saya juga punya kenalan yang ramai berlainan bangsa di dunia meskipun masih belum punya pasport untuk ke luar negara.

Hidup ini aneh dan terlalu istimewa :)

-Zuraida Noordin-

Comments

Popular Posts