Jumaat - 4 Januari 2013

Terlewat setengah jam untuk menjemput 'Aqil.

Ada diskusi dengan seseorang yang mengawal "suhu kewangan" syarikat petang tadi.

'Aqil menunggu di tempat biasa bersama rakan-rakannya yang masih belum dijemput oleh ibu atau bapa mereka. Tersenyum melihat mereka bergurau.

Hari ini hari Jumaat. Saya meneruskan rutin untuk bertanya apakah ilmu penting di antara ilmu-ilmu penting yang telah dipelajari olehnya pada hari ini.

'Aqil menceritakan tentang mata pelajaran aqidah yang diajar oleh Muallim Zairi. 

"Hari ini muallim mengajar tentang makmun masbuk. Apabila imam sedang rukuk, kita bertakbir dan terus rukuk serta membaca 'Subhanallah' , sudah cukup untuk kita dapat satu rakaat."

Allahu Akhbar.

Didoakan Allah merahmati muallim yang mengajar 'Aqil tentang perkara ini. Amin. 
Nampaknya 'Aqil benar dapat ilmu pelajaran aqidah yang diajarkan pada hari ini.

Saya mengulangi apa yang dikatakan oleh 'Aqil, kemudian memberikan sentuhan di dada sambil mengucapkan, "Demi Allah, ilmu membuatkan 'Aqil berjaya dan berilmu."

'Aqil senyum. Saya juga turut senyum.

Subhanallah. Terasa aura positif sedang memenuhi ruang dalam kereta.

***

Ketika tiba membuat latihan di malam hari, 'Aqil mengambil mushaf dan memulakan bacaan tanpa menanti saya duduk di tepinya. Kemudian saya berikan latihan Bahasa Melayu Pemahaman dan Bahasa Inggeris kepadanya. Mulanya kelihatan malas-malas. Katanya kepada saya dia letih kerana di siang hari bertugas sebagai 'Rakan Surau', mengawal murid ketika solat Jumaat tetapi kemudiannya dia mengambil buku latihan tersebut dan menyudahkan latihan seperti yang diminta.

Saya puji dia sudah habiskan latihan yang diberikan. Kemudiannya saya memberi buku latihan matematik semalam kepadanya. Ada beberapa soalan yang saya beri peluang kepadanya untuk membuat pemeriksaan ke atas jawapan itu dan membetulkannya. Di sini saya berhati-hati agar tidak terlepas perkataan 'Salah' muncul di bibir bagi merujuk jawapan yang saya tidak tandakan itu adalah jawapan yang salah. 

Saya katakan; "Ummi beri peluang untuk 'Aqil periksa semula jawapan ini."
Dia meminta izin untuk memeriksanya pada hari esok sahaja kerana dia berasa letih dan mengantuk.

Sedang saya memeriksa buku latihan, saya memandang sekilas kepadanya. Sudah tertidur rupanya. Ini membenarkan pengaduannya bahawa dia di dalam keletihan. Saya perlu bangunkan dia untuk tunaikan solat Isya' nanti.

Petang tadi saya sempat melantik 'Aqil untuk menjadi pembantu saya di ofis pada pagi esok. Saya mahu dia bersedia untuk mengikuti saya ke ofis tanpa ada unsur paksaan.

"Ya Allah, kami mohon bantuan dari-Mu di dalam soal amal ibadah kami. Amin Ya Rabb"

-Zuraida Noordin-


Comments

Popular Posts