Ahad - 6 Januari 2013

'Aqil telah bermalam di rumah nenek dan atuk malam semalam.

Sewaktu saya dan suami mahu pulang, dia sudah pun tertidur di ruang tamu rumah ibu mertua.

Saya dan suami mengucup pipinya dan kemudian kami pulang ke rumah. Kata suami, esok pagi beliau akan pergi ke rumah ibunya untuk menghantar baju 'Aqil. Saya dan suami harus bekerja pada hari Ahad. Selalunya 'Aqil akan mengikuti salah seorang daripada kami ke tempat kerja. Hari ini dia memilih untuk tinggal di rumah neneknya saja. Katanya mahu makan nasi bersama 'Sambal Tumis Ikan Keli' yang dimasakkan istimewa oleh nenek.

Rupanya, pagi-pagi tadi sudah mengajak atuknya pergi mencari ikan keli untuk dibuat sambal tumis dan membeli nasi lemak buat sarapan pagi. Nenek tahu kegemaran 'Aqil ialah 'Nasi Rinjing' iaitu nasi putih yang digoreng bersama kuah sambal tumis. Nenek suka menggembirakan cucu dan anaknya dengan masakannya.

Pada petang tadi, semasa saya tiba di rumah ibu mertua, 'Aqil senyum dan berkata;

"Ummi, sudah makan? Kalau belum makan, pergi ke dapur untuk makan. Nenek masak ikan keli hari ini."

Aduh. Sudah seperti anak yang baru pulang dari sekolah, disuruh ibunya untuk pergi makan. Gelihati saya dibuatnya. Ibu mertua yang duduk disebelahnya tersenyum memerhati.

Ketika saya mula untuk menjamah nasi, bapa mertua pun pulang. Beliau menjinjing beg plastik berisi 'nugget' dan menyerahkan kepada 'Aqil.

'Aqil mencapai beg plastik sambil bertanya;

"Atuk beli di mana 'nugget' ini?" 

Tangannya mengeluarkan secucuk 'nugget' dari plastik. Sebelum memasukkan ke mulutnya dia bersuara;

"Terima kasih Atuk!"

Saya senang memerhatikan tingkah lakunya itu. Tidak lama selepas itu suami saya tiba berasingan menaiki motor ke rumah ibu mertua. Sebenarnya kami sekeluarga memang suka dengan sambal tumis ikan keli ibu mertua. Saya pasti suami juga merindui masakan ibunya.

Selepas menunaikan solat Maghrib, 'Aqil makan bersama-sama dengan ayahnya. Ibu mertua pula sibuk menyiapkan bekalan. Tertanya-tanya juga bekalan untuk siapa. Beliau meminta kami menyerahkan bekalan itu kepada  anaknya yang seorang lagi, abang kepada suami saya yang tinggal berdekatan dengan rumah kami. "Nasi Rinjing" juga menjadi kegemaran abang suami saya.

Saya tidak mengikuti untuk menghantar bekalan tersebut. Suami hanya pergi bersama 'Aqil menaiki motosikal. Saya pula terus memakir kereta di garaj belakang rumah. Letih juga hari ini kerana membuat beberapa perubahan pada alatan pejabat petang tadi. Saya ingin mandi dan berehat di rumah sahaja. 

***
Suami dan 'Aqil pulang ketika saya sedang berehat di ruang tamu. Suami menceritakan bahawa abangnya makan dengan lahap sekali. 

Mestilah, masakan ibu terbaik di dunia!

'Aqil mengambil tempat di kerusi panjang rotan dan merebahkan dirinya di situ. Saya mengambil kesempatan untuk mengaplikasikan Teknik Nabi kepada 'Aqil.

Saya bertanyakan apa yang dibuatnya seharian bersama nenek dan atuk. Saya gunakan Teknik Nabi Hadith 'Ubay Bahagia'.

"Di dalam sehari ini, apakah perkara penting di antara perkara-perkara yang penting yang telah 'Aqil lakukan bersama atuk dan nenek?"

'Aqil tersenyum-senyum, selepas itu menjawab dengan nada suara yang sengaja dimanjakan.

"Aqil, duduk tepi nenek."

Kemudian saya berkata;

"Ummi suka 'Aqil buat perkara yang baik. Allah dan Rasul pun suka. 'Aqil pasti beroleh pahala."

Setelah mengucapkan kata-kata itu, saya mengucup pipi 'Aqil.

Dia tersenyum simpul.

Saya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pertanyaan, bimbang nanti tersasar menjadi menyiasat dan mencari kesalahan pula. 

Seketika kemudian, saya lihat dia sudah tertidur di atas kerusi panjang itu.

***

Untuk aplikasi Teknik Nabi, hari ini saya praktiskan untuk anak didik saya yang menghidapi masalah pembelajaran di dalam membaca dan mengira. Fatin namanya. Saya akan kongsikan di entri saya yang seterusnya.

-Zuraida Noordin-


Comments

Popular Posts