Khamis - 3 Januari 2013


Poster ehsan : Nurhidayah Jaafar

Hari ini saya memulakan langkah mempraktis Teknik Nabi Hadith "Ubay Bahagia" ketika mengambil 'Aqil pulang daripada sekolah.

Ketika 'Aqil masuk ke dalam kereta, saya menghadiahkan senyuman yang paling manis buat dirinya. Kemudian saya memulakan bicara dengan bertanya;

"Apakah pelajaran yang paling penting di antara pelajaran yang telah 'Aqil belajar hari ini?"

'Aqil mula menceritakan setiap pelajaran yang telah dia belajar pada hari ini. Saya mendengar dengan teliti sambil memandu kereta. Di samping itu dia juga menceritakan aktiviti atau kisah-kisah lucu yang berlaku di sekolah bersama rakan-rakannya.

Saya mengulangi ceritanya tentang pelajaran yang telah dipelajari hari ini.

"Aqil belajar Matematik tajuk Nombor Bulat. Seperti yang telah 'Aqil buat latihan malam kelmarin. Demi Allah, ilmu akan membuatkan 'Aqil menjadi berjaya."

Sambil tangan kiri saya menepuk-nepuk dadanya sebanyak dua kali.

'Aqil senyum meleret di dalam kereta. Saya meneruskan pemanduan dan sesekali melihat dirinya sambil melemparkan senyuman.

Sungguh. Saya berasa luarbiasa hari ini.

Setibanya di rumah, 'Aqil terus pergi ke bilik mandi dan membersihkan diri. Subhanallah!

Tanpa di suruh, dia sudah tahu apa yang sering saya pesankan. Ajaibnya saya tidak mengulangi pesanan seperti biasa sewaktu di dalam kereta tadi. Saya terus memuji usahanya itu.

"Ummi kagum, 'Aqil sudah tahu perkara penting yang perlu dibuat sebaik pulang dari sekolah."

Dia lantas senyum dan bernyanyi-nyanyi.

***

Seusai solat Maghrib, saya berkata kepada 'Aqil.

"Mari kita buat ulangan hafazan."

Pada mulanya dia menolak.

"Tidak mahulah Ummi, 'Aqil sudah baca banyak di sekolah tadi."

Lantas saya berkata;

"Mari ceritakan ayat apa yang telah 'Aqil baca siang tadi di sekolah."

Dia lantas menyebut nama-nama surah yang telah dibaca siang tadi.

Kemudian saya berkata;

"Mari bacakan surah kegemaran 'Aqil di antara surah-surah yang telah 'Aqil baca siang tadi."

'Aqil berkata; " 'Aqil mahu baca surah Jumu'ah."

Dia lantas mengambil mushaf dari dalam beg sekolah dan meminta saya membuat rakaman audio bacaannya untuk diperdengarkan kepada ayahnya nanti.

Saya mencapai ipad dan mula merekodkan bacaannya. Selepas selesai sesi bacaan, saya memujinya.

"Ummi kagum 'Aqil lancar membaca surah Jumu'ah. Ummi yakin 'Aqil pasti akan lebih lancar membaca seterusnya menghafaznya jika 'Aqil rajin berlatih."

'Aqil membalas sambil tersenyum; "Tapi 'Aqil rasa macam tak yakin sangat."

Saya cuba mendorong; "In shaa Allah, Ummi berdoa untuk Allah yakinkan 'Aqil."

'Aqil kemudiannya menyimpan semula mushaf ke dalam beg sekolahnya.

***

"Mari ambil buku latihan matematik ini, dan buat dua mukasurat," ucap saya selepas 'Aqil meletakkan mushaf ke beg sekolahnya.

"Tak mahu, semalam kan 'Aqil sudah buat," katanya kepada saya.

"Marilah ambil, Ummi sudah kira setiap hari 'Aqil kena buat latihan sekurang-kurangnya dua mukasurat untuk mahir di dalam subjek ini."

Mengambil buku sambil mata masih di televisyen yang baru dibukanya. Ketika itu mata saya sudah layu mahu tidur akibat kepenatan di siang hari. Ada peperiksaan kertas Urban Sociology hari ini.
Saya tertidur. Bangun semula jam 9.30 malam. Saya lantas bertanya;

"Sudah siapkah latihan matematik tadi?"

Aqil menjawab; "Sudah. 'Aqil sudah solat Isya' tadi. Ingatkan nak bangunkan Ummi, tapi 'Aqil tengok Ummi macam penat sangat."

Alhamdulillah. Sudah solat anakku. Saya terlepas untuk memuji perkara ini. Keliru akibat baru bangun tidur barangkali.

Saya memeriksa buku latihan dan kelihatannya 'Aqil membuat latihan di buku yang lain. Saya berkata kepadanya;

" 'Aqil, Ummi kagum, 'Aqil telah habis membuat latihan dua mukasurat di buku ini. Bolehkah 'Aqil menyambung latihan di buku ini pula? Buat hanya satu mukasurat." Pinta saya sambil merujuk kepada buku yang betul.

Dia mengambil buku tersebut dan terus membuat latihan tanpa bantahan. Allahu Akhbar!

Sedang dia membuat latihan, telefon berdering. Ayah yang menelefon.

Cepat-cepat saya menyatakan, "Laporkan apa yang 'Aqil sedang buat. Beritahu ayah, 'Aqil sudah menyiapkan latihan matematik sebanyak dua mukasurat. Sekarang sedang menyudahkan latihan satu mukasurat lagi. 'Aqil juga sudah solat dan membuat latihan bacaan surah Jumu'ah."

Saya lihat dia tersenyum. Di dalam hati, pasti ayahnya sedang memuji.

"Ya Allah, mohon rahmati kami anak-beranak. Amin Ya Rabb."


-Zuraida Noordin-




Comments

Popular Posts