Sabtu - 5 Januari 2013

Hari ini saya ke pejabat. 'Aqil juga sudah bersedia, bahawa dia akan mengikuti saya untuk ke pejabat.
Tiada penolakan dan isu tidak mahu pergi. Seperti yang dijanjikan pada malam tadi, dia akan membuat pemeriksaan pada pagi ini.

'Aqil memohon izin untuk mengajak rakannya sekali untuk pergi bersama. Saya cuma menyatakan yang tidak boleh menunggu lama kerana perlu mengejar masa untuk tiba di pejabat jam 9.30 pagi.

Saya mengundurkan kereta. Diam dan sekadar melihat dari dalam kereta. Dengan tergesa-gesa, kedua-duanya masuk ke dalam kereta. 1 minit. Wah, cepatnya... kata saya di dalam hati. Ajaib Teknik Bahasa tubuh ini.

Setibanya di pejabat, saya keluarkan buku latihan 'Aqil. Juga mencari buku latihan yang sesuai untuk rakannya yang masih berada di dalam darjah tiga. Alhamdulillah, ada sebuah buku latihan matematik darjah tiga di pejabat.

Saya memulakan bicara.

"Ummi suka Irfan ikut ummi pagi ini, oleh itu ummi dapat membantu Irfan belajar Matematik hari ini."

Irfan tersenyum. Kemudian saya memuji 'Aqil.

"Ummi suka 'Aqil mengajak Irfan untuk datang ke sini pagi ini, dengan itu 'Aqil dapat belajar bersama-sama dengan Irfan."

Kedua-duanya tersenyum.

"Ini buku latihan semalam. 'Aqil tahukan apa yang perlu 'Aqil buat."

Mengangguk dan memulakan latihan. Saya beralih kepada Irfan.

"Bolehkah Irfan membuat latihan matematik sebanyak satu mukasurat di dalam buku ini?"

Irfan mengangguk dan terus memulakan latihan.

Seusai mereka berdua menyudahkan latihan masing-masing, saya memuji.

"Bagusnya, Ummi suka 'Aqil dan Irfan sudah berjaya habiskannya. Beri pada Ummi untuk diperiksa."

Sambil saya memeriksa, bibir saya menyatakan;

"Markah penuh, markah penuh, markah penuh..." kepada setiap jawapan yang betul.

Selesai saya menanda buku latihan tersebut, saya memuji, "Irfan dan 'Aqil telah berjaya menyudahkan latihan dan mendapat markah penuh untuk semua soalan, Ummi yakin, jika sering buat latihan, Irfan dan 'Aqil akan jadi murid yang pandai Matematik."

Mereka berdua tersenyum selepas dipuji.

Latihan saya di dalam pengucapan di atas masih lemah dari sudut dinamiknya. Inshaa Allah, berlatih dan terus berlatih akan memahirkan diri dan terbiasa dengan pengucapan sebegitu.

Dahulu, teknik memuji yang saya guna lebih merujuk kepada individu bukan kepada perbuatan, seperti contoh, "'Aqil baik, 'Aqil hensem, 'Aqil bagus, 'Aqil pandai". Mana tahu pujian itu akan membuatkan mereka 'naik tocang'. Syukur, diperbetulkan dengan ilmu Teknik Nabi.

 Kemudian saya bertanya kepada Irfan dan 'Aqil;

"Bolehkah buat latihan di satu mukasurat lagi?" Mereka berdua mengangguk tanda mahu.

Suka hati saya. Tanpa sedar, mereka berdua berjaya menyudahkan latihan matematik sebanyak lima muka surat di dalam masa yang singkat.

Saya memberitahu Irfan ketika membawanya makan tengahari tadi;

"Balik nanti ceritakan perkara baik yang telah Irfan lakukan pada hari ini kepada Mama. Membuat latihan matematik itu adalah perkara yang baik. Tentu Mama suka mendengarnya. Allah dan Rasul juga sayang kepada anak yang menggembirakan hati ibu dan bapanya."

'Aqil yang mendengar, tersenyum simpul. Irfan juga.

"Ya Allah, mohon dirahmati kedua anak ini. Amin Ya Rabb"

Kemudian saya mendengar keduanya bercakap-cakap dan berbual-bual tentang filem "Kung Fu Hustle" yang ditonton mereka pada cuti yang lepas. Hampir tersedak Irfan apabila mengingati adegan lucu di dalam filem tersebut. Saya membiarkan mereka berbual, sekali sekala menyampuk tentang adegan "berlari" dan "bibir tebal selepas dipatuk ular" yang ditonjolkan oleh Stephen Chow di dalam filem itu.

Melihat kanak-kanak senyum dan ketawa, satu nikmat Allah yang tidak boleh didustakan.



-Zuraida Noordin-

Comments

Popular Posts